Mutiara-mutiara yang bertaburan...
Dan mereka dikelilingi oleh para pemuda yang tetap muda.Apabila kamu melihatnya,akan kamu kira mereka,mutiara yang bertaburan(Al-Insan:19)
Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
“Adik-adik yang dikasihi ALLAH sekalian. Boleh akak tahu apa maksud dakwah menurut kefahaman adik?”, Tanya saya kepada pelajar-pelajar puteri SAMER. Seorang anak usrah bersuara “melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar kak”, jawabnya dengan penuh yakin. “Apa buktinya?”, tanyaku untuk mengujnya. Tafsir yang berada di tangannya terus dibukanya, “Dalam surah Al-Imran ayat 104 ALLAH telah berfirman Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”, balasnya. Diriku tersenyum. Subhanallah saya terasa kagum dengan kebolehannya mengemukakan dalil-dalil Al-Quran menurut hafalannya. Bukan sekadar itu, adik tersebut merupakan Ketua BADAR bagi pelajar-pelajar puteri yang selalu menjadi tempat rujukan rakan-rakan dan teman-teman sebayanya. Apabila berlaku kejadian hysteria di asrama, dialah orang yang akan dipanggil untuk mengendalikannya.
“Boleh akak tahu kenapa dari tadi akak nampak adik nampak muram dan diam? Adik ada masalah? ”, tanya saya kehairanan. Sedaya upaya saya cuba untuk memahaminya. Apa tidaknya, sebelum ini dia merupakan anak usrahku yang sangat ceria dan sering bersuara. Cuma pada malam itu, ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada dirinya yang menyebabkan sikapnya tidak seperti biasa. “Sebenarnya kak, saya rasa risau sangat dengan seorang sahabat saya ni”, keluhnya. Kelihatan air matanya bergenang. “Boleh akak tahu kenapa?”, tanyaku kebingungan. “Sebenarnya, sahabat saya ni bercouple dengan salah seorang pelajar lelaki di sini. Kalau dulu dia selalu berkawan dengan kami, tapi sekarang semakin lama semakin jauh dari kami.Saya sedih kak sikapnya. Bergayut dalam telefon, tidak menjaga pandangan dan macam-macam lagi perkara yang tidak syari’ie yang dilakukannya kak. Dah berapa kali saya cuba menasihatinya tapi tidak juga dipedulikannya. Saya sayang sangat padanya kak”, jelasnya sambil menangis teresak-esak. Kali ini kuat tangisannya. Jelas kelihatan wajah dan perasaannya benar-benar sedih dan kesal. Subhanallah, Alhamdulillah bisik hatiku. Terasa kagum aku pada ALLAH kerana menemukan aku dengan adik tersebut. Bayangkan betapa tingginya tahap sensitivitinya pada sahabatnya. Masalah padanya adalah masalah rakannya yang bercouple! Aku kagum dengan dai’e kecil itu. Jarang sekali aku mendengar jawapan seperti itu. Kebiasaannya yang kita dengar, masalah kita adalah masalah yang menimpa ke atas diri kita bukannya menimpa pada orang lain. Sukar untuk aku menjelaskannya di sini. Tetapi pengakuan ukhti tersebut benar-benar membuka mata dan menyedarkan aku.
Nah, lihatlah ini.
Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a, pelayan Rasulullah saw, bahawa Rasulullah saw bersabda,“seseorang di antara kalian tidak dikatakan beriman sehingga dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
“Kak, boleh saya minta pendapat akak?”, tanya seorang adik usrahku. “tafadhol ya habibati”, jawabku ringkas. Dia tersenyum. “Akak, betul ke dalam Islam tiada istilah cinta sebelum perkahwinan? Apakah tindakan kita apabila ada orang yang berlainan jantina dari kita ingin mengenali diri kita? Satu lagi soalan saya kak, boleh tak kita berhubung dengan golongan bukan mahram walaupun dalam SMS, email atau YM dan sebagainya?”, tanyanya untuk mendapat kepastian. Aku tersenyum dan dapat mengagak soalan yang bakal ditanya itu. Aku sangat memahaminya. Lingkungan umur belasan tahun seperti mereka (remaja) memang gemar apabila membincangkan tentang topik cinta.
“Akak, saya faham tentang kewajipan amar makruf nahi mungkar, tapi masalahnya saya tak mampu dan tak pandai mempraktikkannya. Banyak sangat kekurangan dalam diri saya. Kalau saya nak tegur pada mad’u rasa macam tak layak nak tegur orang lain, diri saya bukannya baik pun. Saya masih kurang ilmu agama. Banyak sangat ilmu agama yang perlu saya pelajari”, keluh seorang adik kampus apabila membincangkan topik kepentingan dakwah.
Terngiang-ngiang dan tergambar pada fikiranku halaqah atau usrah yang aku cintai bersama dengan adik-adik SAMER dan kampus pada tika dahulu. Entah mengapa, hatiku benar-benar rindu pada mereka. Rindu pada bi’ah solehah itu. Rindu pada perbincangan dan perkongsian ilmu itu. Rindu segala-galanya berkaitan tentang itu. ALLAH mengajar saya banyak perkara bersama dengan mereka yakni melalui usrah. Saya berta’aruf dengan jalan dakwah dan tarbiyyah yang sedang saya lalui ini, saya belajar untuk berukhwah sebagaimana saya berukhwah hari ini, saya belajar untuk berkomunikasi sebagaimana saya berkomunikasi hari ini, saya belajar untuk hidup sebagaimana saya hidup hari ini. Semuanya bermula dengan usrah.
Hari ini saya dan mereka diuji. Hari ini saya dan mereka diuji tahap keimanan. Hari ini saya dan mereka diuji dengan kata-kata yang pernah kami tuturkan pada tika dahulu. Hari ini saya dan mereka benar-benar mendengar, melalui dan merasai dengan mata dan kepala sendiri. Benarlah kata naqibah saya dahulu ketika saya mula berjinak-jinak dengan halaqah cinta,
“orang yang berkata-kata adalah orang yang pertama sekali yang akan diuji oleh ALLAH”
Jadi, adakah kita tidak mahu berpesan-pesan kepada kebenaran atau tinggalkan kerja-kerja dakwah dek takutkan ujian ALLAH itu kepada kita?
Bukankah dakwah itu merupakan kewajipan bagi setiap diri yang bergelar muslim?
Bukankah Rasul junjungan mulia kita; Rasulullah saw telah bersabda, “samapaikanlah olehmu walau satu ayat”?
(Al-Hadith)
Sungguh, saya benar-benar malu pada ALLAH. Sungguh saya benar-benar malu padaNya jika diri ini hipokrit! Cakap tak serupa bikin! Sungguh, saya malu dan jemu kepada diri sendiri dan mereka yang kononnya bergelar seorang da’ie, menggunakan agama sebagai passport untuk membuat kebaikan daripada kacamata saya atau mereka sendiri bukannya apa yang digariskan oleh ALLAH dan Rasul. Astaghfirullah…
Buat diriku dan mereka yang bergelar da’ie yang sering lupa dan alpa, ingatlah ancaman-ancaman ALLAH yang berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi ALLAH jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”.
(As-Saff: 2-3)
Bertaubatlah dan didiklah diri untuk berubah ke arah kebaikan. Bukankah ALLAH amat mengasihi hambaNya yang bertaubat?
Nah, lihatlah beberapa ayat dari langit.
“Sekiranya hambaKu bertanyakan kau (Muhammad) berkenaan Aku, maka sesungguhnya Aku adalah amat dekat”
(Al-Baqarah:186)
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, nescaya Dia akan membukakan untuknya jalan keluar, dan Dia akan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada ALLAH maka ALLAH akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya ALLAH itu melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketetapan untuk sesuatu”
(At-Talaq:2-3)
“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi ALLAH. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan ALLAH tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri”
(Al-Hadid:22-23)
“……Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain ALLAH”
(Ar-Ra’d:11)
Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH tsabat dan istiqamah kan kita di jalan perjuangan ini. Moga ALLAH redha dengan setiap amal pebuatan kita. Moga lelah dan usaha kita dihargai Ilahi walaupun dicemuh insani..
“Ya ALLAH, masukkanlah kami ke tempat yang benar serta keluarkan (pula) kami ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisiMu kekuasaan yang dapat menolong (kami). Tunjukkanlah kami sejelas-jelasnya segala perkara yang hak mahupun yang batil. Sesungguhnya hanya kepadaMulah tempat kami mengadu dan berharap…”Amin ya rabbal alamin…
Sama-sama lah kita perbanyakkan muhasabah, dan memberbaiki lagi kondisi hati dan kehidupan kita.
Kita hendak pulang kepada Allah SWT, dalam keadaan hati yang sempurna insyaAllah…
Ya Allah, terima lah, dan bantulah kami ini.
Manusia-manusia, yang hendak menjadi HambaMu Ya Ilahi…