Showing posts with label Tazkiyatun Nafs. Show all posts
Showing posts with label Tazkiyatun Nafs. Show all posts

Sunday, October 17, 2010

Lafaz yang sering kita lupakan



Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Dalam tidak sedar….


Setiap hari kita memohon dan sering melafaz kalimah-kalimah suci dalam solat kita..tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami.. sekadar hanya di bibir, tetapi tidak tersentuh di hati kita selama ini..

Marilah kita menghayati makna yang sangat indah ini ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat..

Dengan rendahkan hati nyatakanlah permohonan ampunan kepada Allah & adulah kepadaNya…

Mari kita sama-sama hayatinya…


Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)


Diamlah sejenak,…buka dada, minda dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah. Mohonlah keampunan kepada ALLAH..Bisikkanlah ke dalam hati sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun..
Sekalipun dosa kita seperti awan meliputi langit, nescaya ALLAH akan mengampuninya. Sungguhpun kita melakukan dosa sebesar bumi, namun ALLAH tetap mengampuni dosa kita selagi mana kita tidak syirik kepadaNya..


Cuba lihat hadith ini…


Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.

(Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih )


Justeru, tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah …


Warhamni (sayangi aku)

Ketahuilah…Kita ada ALLAH yang sentiasa menyayangi & mencintai diri kita..Mengapakah Dia yang paling layak untuk kita cintai? ALLAH sahaja yang memberikan segala nikmat dan rezeki kepada kita, Dialah yang menunaikan segala permintaan kita. Dialah Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Dia sentiasa berada bersama kita walaupn kita berada dalam keadaan susah dan senang..Segala puji bagi ALLAH dengan sifat-sifatNya yang suci lagi sempurna dan tidak ada yang tercela. Sebab itu, ALLAH lah yang paling layak kita cintai kerana sifat-sifatNya sempurna dan Dia ada segala-galanya . Kasih sayang ALLAH sebenarnya tak terhitung besarnya.


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak

(Hadis Riwayat MUSLIM)


Wajburnii (tutuplah aib-aibku)


Kita merupakan makhluk yang bersifat lemah dan hamba yang penuh dengan kebergantungan kepada ALLAH. Sepanjang kita hidup saban hari, kita tak mungkin terlepas daripada melakukan dosa. Dosa yang kita lakukan itu boleh jadi secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. Dosa yang terang-terangan akan mengundang rasa malu kepada orang lain, melainkan jika hati kita sudah sekeras batu. Oleh itu, kita lebih banyak melakukan dosa yang sembunyi-sembunyi. Dosa yang tak siapa tahu melainkan kita, dan ALLAH.


Dari An Nawas bin Sam’an RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Kebajikan itu keluhuran akhlak sedangkan dosa adalah apa-apa yang dirimu merasa ragu-ragu dan kamu tidak suka jika orang lain mengetahuinya.”

(HR Muslim)


Kalau dibukakan segala dosa yang kita lakukan, tentu takkan ada siapa yang akan menghormati kita. Kalau ALLAH membukakan segala dosa yang kita lakukan sembunyi-sembunyi baik dalam pandangan, pendengaran, perbuatan, ataupun lintasan hati, nescaya takkan adapun manusia yang mahu menghormati kita.


Namun, ALLAH begitu penyayang dan Dia tahu betapa lemahnya kita. Lalu dia menutup keaiban-keaiban kita sehingga kita mampu berjalan di tengah-tengah manusia tanpa rasa malu, sekalipun kita telah melakukan segunung dosa di belakang mereka.


Namun, adalah sesuatu yang sangat takabbur jika dengan Allah pun kita tak rasa malu. Maka, setiap kali kita ingin melakukan dosa di belakang manusia, ingatlah bahawa ada Allah yang lebih patut kita rasa malu kepada-Nya berbanding manusia.


Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Apalah ertinya kita memiliki kekayaan melimpah, bila hati kita miskin dari mengenal Allah. Apalah ertinya kita dikenal orang, bila kita tidak mampu mengenal Allah. Apalah ertinya kita memiliki jawatan tinggi, bila kedudukan kita rendah di hadapan Allah. Semua yang ada selain Allah adalah cubaan dan fitnah sahaja. Walau memiliki dunia, kedudukan kita akan rendah bila tidak mengenal Allah.


Nah, lihatlah ini…


Rasulullah Saw bersabda, "Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaknya memperhatikan bagaimana kedudukan Allah dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menempatkan hamba-Nya, sebagaimana hamba itu menempatkan Allah dalam jiwanya (hatinya)".

(Al-hadith)


Berdasarkan hadith di atas, jelas lagi bersuluh bahawa tinggi atau rendah darjat seseorang hamba di sisi Khaliqnya adalah berdasarkan sejauh mana ia menempatkan ALLAH dalam jiwanya.


Teruslah berdoa agar ALLAH mengangkat darjat kita…


Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Dalam tidak sedar sebanarnya sungguh banyak rezeki yang ALLAH kurniakan untuk kita. Nikmat iman, nikmat Islam, nikmat umur, nikmat kesihatan, nikmat keluarga, nikmat sahabat, nikmat ilmu dan pelbagai nikmat dan rezeki lagi yang ALLAH kurniakan, sungguh kita tidak dapat menghitungnya. Sekalipun dosa kita seperti awan meliputi langit namun ALLAH tetap mengurniakan rezeki kepada kita…

Diamlah sejenak…

Bukalah hati, lapangkanlah dada dan yakinlah ALLAH Maha Pemberi Rezeki kepada hamba-hambaNya. Berdoa, mohon dan mengadulah kepada Sang Khaliq atas segala hajat yang kita inginkan dariNya. Sesungguhnya Allah S.W.T. amat rindu kepada suara-suara hamba-hamba yang telah diciptakanNya agar mengingati, merayu, dan memujiNya.


Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah sahajalah yang dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, dari kemaksiatan kepada ketakwaan, dari kezaliman kepada keadilan, dari kegelapan kepada cahaya kebenaran dan dari kegelisahan kepada ketenangan jiwa. Hidayah adalah petunjuk yang dikurniakanNya kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


Wa'Aafinii (sihatkan aku)


Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.

(Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)


Wa'fuannii (maafkan aku)

"Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (lazim berbuat dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(Az-Zumar: 53).


Saudaraku yang dikasihi ALLAH,


Betapa besarnya nilai sebuah doa ini..


Sebuah doa yang kita hanya lewatkan begitu sahaja..Sebuah doa yang kita tidak pernah kenal maknanya…Dalam tidak sedar, selama ini kita seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu...tetapi hati antara mahu dan tidak mahu.


Maka, sama-samalah kita memperbanyakkan muhasabah dan memperbaiki lagi solat kita kerana solat merupakan amalan yang pertama sekali yang akan dinilai dan dihisab oleh ALLAH..


Kita hendak pulang kepada Allah SWT, dalam keadaan solat yang sempurna insyaAllah…


Ya Allah, terimalah, dan bantulah kami ini.


Manusia-manusia, yang hendak menjadi HambaMu Ya Ilahi…


Maka nikmat Tuhanmu yg manakah yang kamu dustakan? (Al-Rahman:18)


"seorang hamba"

~mutiara-mutiara bertaburan~

Thursday, June 25, 2009

Hakikat bahagia


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih, rapuh serta sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti. Namun tidak tersedarkah hati itu adalah ujian dari Tuhannya? Kepayahan itu sesungguhnya adalah bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya? Terlebih banyak mengaduh dari bertahmid rasanya.



Izinkan saya bertanyakan soalan.


Apakah yang kita inginkan di dunia ini?


Barangkali ada sahaja yang menjawab, “saya inginkan…..”


Isteri atau suami yang cantik serta soleh/ah ..

Rumah yang besar…

Harta yang melimpah ruah..

Anak yang ramai…

Mendapat kejayaan dalam segala bidang yang diceburi…


Serta pelbagai lagi jawapan yang tidak mampu saya menulisnya di sini.



Sedar atau tidak semua manusia yang bergelar Homosapiens sp. inginkan kebahagiaan. Tidak ada manusia yang tidak inginkan bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencari bahagia.


Hakikatnya, sudah menjadi rules of life (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Adakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi asbab hilangnya bahagia? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in)? Jawabnya tidak!


Jadi, apakah erti bahagia itu?


Ada yang beranggapan erti bahagia itu adalah terlalu subjektif. Berubah-rubah serta berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain pula.


Dengan bahasa mudahnya, kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk ALLAH dalam Al-Quran yang bermaksud:


“…..Ketahuilah dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang” (Al-Ra’d:28)


Rasulullah saw juga bersabda:


“Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati”. (Riwayat Bukhari & Muslim)



“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati” (Riwayat Bukhari & Muslim)




Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup (qanaah) dengan apa yang dimiliki, bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada serta redha dengan ketetapan ALLAH. Sabar berbeza dengan redha. Sabar adalah menahan diri dari amarah dan kekesalan ketika merasa ‘sakit’ (konteks yang lebih luas) sambil berharap derita itu segera hilang. Sementara redha adalah bermaksud berlapang dada atas ketetapan ALLAH swt dan membiarkan rasa ‘sakit’ itu walaupun merasakannya. Keredhaannya meringankan deritanya sekaligus merasakan ketenangan serta bahagia di hati. Maka, jelaslah di sini bahagia itu adalah datang dari dalam ke luar (inside-out) bukannya dari luar ke dalam (outside-in).


Saya ingin tinggalkan kata-kata mufassir ulung Nusantara, Prof. Dr. Hamka,


“….bahawa ujian dunia yang dilalui sekalian kita hanya mampu dihadapi dengan berbekalkan al-Quran dan sunah Nabi untuk diamalkan dalam kehidupan.”


Ini bermakna untuk mencari kebahagiaan yang sebenarnya perlu dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan dan pengurusan hati yang betul. Justeru, kebahagiaan, ketenangan, kesengsaraan atau kesempitan adalah pilihan kita sendiri. Terpulanglah pada diri kita untuk memilihnya..



~mutiara-mutiara bertaburan~



Rujukan


1) Pahrol, M. J. 2009. Apa Itu Bahagia? Majalah SOLUSI. Isu No. 6. Telaga Biru. pp. 14-17.


2) Ibnu Rajab Al Hambali, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah & Imam Al Ghazali. Tazkiyatun Nafs

Konsep Penyucian Jiwa Menurut Ulama’ Salafushalih. Dar Qalam. 2001. pp 135-138.


3) Azniey. Duhai Hati, Jangan Kau Terkorban Dengan Dunia. www.iluvislam.com.

Sunday, May 24, 2009

Mencari BAHAGIA di Jalan Raya


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maga Penyayang

Ketika memandu pulang ke rumah baru-baru ini saya benar-benar teruji. Jalan raya menuju ke Kuala Lumpur begitu sesak sekali. Terasa seperti merangkak menuju destinasi. Sedaya upaya saya cuba mengelak daripada menempuhi kesesakan yang menggila ini dengan mencari jalan alternatif. Saya memasuki lorong susur keluar ke Lebuhraya Duke dengan harapan saya akan menemui Lebuhraya Karak. Malangnya saya tersalah memasuki jalan menghala ke Petaling Jaya. Bukan sahaja itu, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa setengah jam dari UPM ke Gombak telah menjadi 2 jam. Jangka masa perjalanan seperti dari Kuala Lumpur ke Melaka! Ditambahkan lagi, kereta saya hampir kehabisan minyak. Sangat menguji kesabaran.

Dalam keadaan seperti itu, saya teringat akan artikel Mencari Cinta di Kesesakan Jalan Raya yang ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi. Kesesakan lalu lintas adalah praktik mujahadah para sufi di akhir zaman. Di mana jalan raya kini hakikatnya “ladang” untuk menuai kesabaran, timbang rasa, kemaafan dan lain-lain sifat mahmudah. Cuba kita bayangkan. Sesak yang begini sudah terasa seksa bagaimana pula sesak di Padang Mahsyar? Dalam belaian hawa dingin kereta pun masih terasa “seksanya” menunggu, inikan pula penantian dalam kepanasan di Akhirat nanti. Mampukah kita?



“Huh… terkena betul rasanya pada diri sendiri. Relax lah tak perlu nak rush..”, saya bermonolog intrasik.


Sebenarnya, apabila menghadapi kesesakan lalu lintas, pemandu-pemandu di lebuh raya terbahagi kepada 3 golongan (persis pembahagian golongan manusia di Padang Mahsyar nanti).



Golongan pertama- golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain serta melanggar undang-undang. Ramai juga yang berbuat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai. Peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Disaman polis? Alahai setakat dua atau tiga ratus ringgit, tidak menjadi masalah. Bayar dan redah sahaja!

Golongan kedua- tidak seberani golongan yang pertama. Hendak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang lain bagaimana? Rasa malu dan segan masih ada tetapi dalam hati, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu “daring” dan “kurang ajar”. Hendak redah seperti golongan pertama? Tidak sama sekali. Jadi? Teruskan perjalanan dengan hati yang “terseksa”. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap 2 jam, 2 jam itulah hilang kebahagiaan dan ketenangan.

Golongan ketiga- mereka yang tenang dan senang-senang sahaja. Sesak? Biasalah tu. Semua orang ingin cepat. Apa maknanya cepat tapi hilang nilai sabar, timbang rasa, tolak ansur dan hormat-menghormati, begitu bisik hati mereka. Mereka tahu apa yang perlu “dikejar” dalam hidup ini. Terseksa? Tidak sekali. Sebaliknya mereka bahagia dan bersedia. Mereka telah bersedia dengan ‘bahan’ atau ‘alat-alat’ tarbiyah dan hiburan di dalam kereta.

Hah bagaimana?

Ketiadaan cinta, bahagia serta hati yang sejahtera di jalan raya adalah menjadi asbab berlakunya kemalangan. Apabila manusia dikuasai marah, kecewa, dendam, putus asa dalam kehidupan… segala-galanya dihamburkan semasa memegang stereng kereta.

Nah, lihatlah,

Daripada Shuhaib r.a., sabda Rasulullah saw, bermaksud, “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah kebaikan. Apabila mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan, apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya”.

Justeru, bahagiakanlah hatimu di jalan raya dengan cara bermuhasabah, mendengar ceramah atau tazkirah di dalam radio atau kaset, mendengar lagu, menyanyi, melihat pemandangan yang indah, berdiskusi dengan sesiapa yang bersama kita di dalam kereta serta pelbagai aktiviti yang bermanfaat yang boleh kita lakukan untuk menggembirakan hati ketika terperangkap di jalan raya. Selamilah dasar hati kita, dan percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu terikat pada hati yang punyai sifat redha dan tawakal yang tinggi kepada ALLAH swt.



Senang dan bahagiakanlah hatimu ketika di jalan raya!



~mutiara-mutiara bertaburan~




Rujukan
1) Pahrol, M. J. 2009. Mencari Cinta di Kesesakan Jalan Raya. Majalah SOLUSI. Isu No. 5. Telaga Biru.
2) Ditakhrij Muslim. 8/125 dalam al-Zuhud.

Sunday, March 22, 2009

Tuhan Sedang Mengajarmu Erti Sabar


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kebanyakan orang selalu berkata, hidup ini ibarat roda. Kadangkala kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Dengan kata lainnya, hidup ini adakalanya kita akan terasa gembira dan hidup ini adakalanya kita akan berasa durja. Hakikatnya hidup yang kita lalui ini, penuh dengan kebaikan. Hatta, perkara yang menyusahkan dan menyedihkan sebenarnya terselit di dalamnya kebaikan. Namun begitu kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung daripada ALLAH atau orang lain, kita mudah melatah. Terasa ALLAH sengaja menyusahkan kita, atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian kepada kita, timbul rasa menyesal serta pelbagai lagi yang negatif.

Namun, bagi mereka yang yakin kepada ALLAH, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan malah perkara yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan. Walaupun diduga dan diuji, hamba yang bersangka baik pada ALLAH akan percaya bahawa ALLAH tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya, percaya ALLAH tidak akan berkehendakkan yang buruk kepada hamba-hambaNya; mereka inilah kuat imannya. Persoalannya di sini bolehkah kita mampu bersikap tenang dan sabar apabila diuji oleh ALLAH? Persoalan ini saya tujukan khas buat diri saya sendiri.

Nah, lihatlah firman ALLAH,



“Dan sabarlah kalian! Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang bersabar” (Al-Anfal:46)

“Sungguh, jika kalian bersabar, kesabaran itu lebih baik bagi orang-orang yang sabar” (An-Nahl:126)

“Dan ALLAH mencintai orang-orang yang sabar” (Al-Imran:146)

Hakikatnya manusia itu mudah lupa. Bukan namanya manusia atau Homosapiens sp. jika ia tidak lupa. Manusia seperti kita ini sering kali terlupa bahawa kita adalah hambaNya yang sememangnya layak diuji. ALLAH swt juga ‘memberitahu’ (suci daripada setiap makhluk) bahawa bersama sabar dan taqwa, musuh tidak akan dapat mengalahkan kita, walau sekuat manapun mereka. Selain itu juga, orang-orang yang sabar akan mendapat kebaikan di dunia & di Akhirat serta mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang sebenarnya dari segi lahiriah atau batiniah. Teringat saya akan petikan lagu Hakikat Bahagia yang dinyanyikan oleh UNIC;

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati ALLAH
jiwakan menjadi tenang

Apa yang ingin saya cuba sampaikan di sini adalah hakikat dan makna sebuah kesabaran. Di mana definisi sabar menurut syarak adalah menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH, menahan lisan dari keluhan, dan menahan anggota daripada mengungkapkan kesedihan (seperti memukul-mukul pipi, merobek-robek pakaian dsb). Dengan sifat sabar inilah akan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang tercela serta tidak rasional. Sekaligus, sabar adalah kekuatan untuk mencapai kebaikan serta kelurusan agama. Dzun Nuun Al-Mishriy pernah berkata “sabar adalah menjauhi hal-hal yang bertentangan dengan agama; bersikap tenang ketika menghadapi ujian yang berat; menampakkan kecukupan ketika kefakiran atau di kala kekurangan dengan datang ke tengah medan kehidupan.

Lihatlah satu lagi firman ALLAH,



Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang jika ditimpa suatu musibah berkata, “Sesungguhnya aku milik ALLAH, dan kepadaNyalah kita dikembalikan”. Merekalah orang-orang yang mendapat salam kesejahteraan dan rahmat dari ALLAH. Dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Al-Baqarah:155-157)



“Dan tidaklah seseorang itu diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar” (Hadith Riwayat Bukhari)



Cantiknya susunan ALLAH ini, sesuatu ujian atau musibah itu hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir serta bersangka baik pada ALLAH. Inilah hasil dan rintitan daripada sifat sabar. Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir kita adalah hambaNya. Namun sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada ALLAH? Biarlah Dia menyusun, merancang dan menentukan kehidupan kita dan segalanya. Kita hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakan mengikut kehendak ALLAH. Jika ALLAH memberikan ujian, dugaan dan kegagalan dan sebagainya seharusnya kita tidak boleh cepat melatah serta menyalahkan ALLAH. Seharusnya kita haruslah yakin sepenuhnya bahawa pasti ada kebaikan serta hikmah yang tersembunyi di sebalik imtihan yang ALLAH berikan pada kita.

“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan” (Al-Insyirah:6)

Tetapi boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (Al-Baqarah:216)



Oleh itu, saya mengajak diri saya terutamanya serta sahabat sahibah untuk bersangka baik pada ALLAH serta berusaha untuk memupuk sifat sabar di dalam diri apabila menempuhi imtihan dariNya. Dengan sifat sabar inilah akan menjadikan hidup kita lebih bahagia dan tenang. Moga ALLAH mengampunkan dosa saya, sahabat sahibah, ibu bapa kita, keluarga kita, para pendidik, saudara Islam kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan seluruh dunia serta muslimin dan muslimat sama ada yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.



MARI MENJADI HAMBA ALLAH!



~mutiara-mutiara bertaburan~







Rujukan
1) Hadith riwayat Bukhairi Az-Zakah III/335 dan Muslim, Az-Zakah VII/144 dari Abu Sa’id Al- Khudriy

2) Ibnu Rajab Al Hambali, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah & Imam Al Ghazali. Tazkiyatun Nafs Konsep
Penyucian Jiwa Menurut Ulama’ Salafushalih. Dar Qalam. 2001. pp 97-104.



3) Abu Asif, 2009. Tuhan Sedang Mengajarmu Erti Ikhlas Dan Sabar. SOLUSI Isu No.2. Telaga
Biru. pp 44.



4) Hilal Asyraf. 2008. Kebaikan-kebaikan yang Tersembunyi. langitillahi.blogspot.com