Thursday, June 25, 2009

Hakikat bahagia


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih, rapuh serta sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti. Namun tidak tersedarkah hati itu adalah ujian dari Tuhannya? Kepayahan itu sesungguhnya adalah bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya? Terlebih banyak mengaduh dari bertahmid rasanya.



Izinkan saya bertanyakan soalan.


Apakah yang kita inginkan di dunia ini?


Barangkali ada sahaja yang menjawab, “saya inginkan…..”


Isteri atau suami yang cantik serta soleh/ah ..

Rumah yang besar…

Harta yang melimpah ruah..

Anak yang ramai…

Mendapat kejayaan dalam segala bidang yang diceburi…


Serta pelbagai lagi jawapan yang tidak mampu saya menulisnya di sini.



Sedar atau tidak semua manusia yang bergelar Homosapiens sp. inginkan kebahagiaan. Tidak ada manusia yang tidak inginkan bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencari bahagia.


Hakikatnya, sudah menjadi rules of life (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Adakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi asbab hilangnya bahagia? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in)? Jawabnya tidak!


Jadi, apakah erti bahagia itu?


Ada yang beranggapan erti bahagia itu adalah terlalu subjektif. Berubah-rubah serta berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain pula.


Dengan bahasa mudahnya, kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk ALLAH dalam Al-Quran yang bermaksud:


“…..Ketahuilah dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang” (Al-Ra’d:28)


Rasulullah saw juga bersabda:


“Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati”. (Riwayat Bukhari & Muslim)



“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati” (Riwayat Bukhari & Muslim)




Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup (qanaah) dengan apa yang dimiliki, bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada serta redha dengan ketetapan ALLAH. Sabar berbeza dengan redha. Sabar adalah menahan diri dari amarah dan kekesalan ketika merasa ‘sakit’ (konteks yang lebih luas) sambil berharap derita itu segera hilang. Sementara redha adalah bermaksud berlapang dada atas ketetapan ALLAH swt dan membiarkan rasa ‘sakit’ itu walaupun merasakannya. Keredhaannya meringankan deritanya sekaligus merasakan ketenangan serta bahagia di hati. Maka, jelaslah di sini bahagia itu adalah datang dari dalam ke luar (inside-out) bukannya dari luar ke dalam (outside-in).


Saya ingin tinggalkan kata-kata mufassir ulung Nusantara, Prof. Dr. Hamka,


“….bahawa ujian dunia yang dilalui sekalian kita hanya mampu dihadapi dengan berbekalkan al-Quran dan sunah Nabi untuk diamalkan dalam kehidupan.”


Ini bermakna untuk mencari kebahagiaan yang sebenarnya perlu dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan dan pengurusan hati yang betul. Justeru, kebahagiaan, ketenangan, kesengsaraan atau kesempitan adalah pilihan kita sendiri. Terpulanglah pada diri kita untuk memilihnya..



~mutiara-mutiara bertaburan~



Rujukan


1) Pahrol, M. J. 2009. Apa Itu Bahagia? Majalah SOLUSI. Isu No. 6. Telaga Biru. pp. 14-17.


2) Ibnu Rajab Al Hambali, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah & Imam Al Ghazali. Tazkiyatun Nafs

Konsep Penyucian Jiwa Menurut Ulama’ Salafushalih. Dar Qalam. 2001. pp 135-138.


3) Azniey. Duhai Hati, Jangan Kau Terkorban Dengan Dunia. www.iluvislam.com.

No comments:

Post a Comment