Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Post kali ini, saya ingin berkongsi dengan sahibah khususnya berkenaan dengan masalah menstrual (istilah perubatan) dan hukumnya. Saya yakin rata-ratanya masyarakat kita pada hari ini tidak mengetahuinya dan bersikap seperti acuh tidak acuh berkenaan dengan permasalahan ini. Tambahan lagi, lebih memalukan dan menyedihkan kebanyakan pakar sakit puan (ginekologi) & orang yang arif berkenaan dengan feqah wanita pada hari ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan orang lelaki.
Hah, bagaimana? Segankan?
SITUASI 1:
Saya mandi hadas sebelum waktu Maghrib dan selepas itu mengerjakan solat Maghrib. Adakah perlu saya mengqadaikan solat Zohor & Asar yang telah ditinggalkan pada hari yang sama?
Berikut adalah beberapa panduan yang perlu diperhatikan apabila kering daripada haid.
1) Apabila jangka waktu antara berhenti haid dan habisnya waktu solat itu dikira-kirakan tidak cukup untuk melakukan mandi hadas dan solat, maka solat itu belumlah wajib baginya (tanpa melewat-lewatkan mandi hadas).
2) Apabila jangka waktu tersebut cukup untuk mandi hadas dan solat, maka solat itu sudah wajib baginya.
Seperti kes di atas, jika seseorang itu mandi hadas hampir-hampir Maghrib, tidak sempat mandi sudah selesai azan, maka tidaklah perlu mengqada’kan solat sebelumnya melainkan jika sengaja dilewat-lewatkan mandi hadas tersebut. Tetapi jika seseorang itu sempat mandi hadas sebelum waktu Maghrib, sedangkan waktu Asar masih ada, perlulah diqada’kan solat Zohor dan Asar kerana kedua-dua solat tersebut boleh dijama’kan.
1) Jika solat yang mulai itu tidak dapat dijama’ dengan solat yang sebelumnya, maka yang wajib dikerjakan solat itu sahaja, seperti berhenti haid pada waktu Subuh, Zohor atau Maghrib.
2) Jika solat yang dimulai wajib dilakukan itu termasuklah solat yang boleh dijama’ dengan solat sebelumnya, maka solat yang sebelumnya itu ikut wajib dikerjakan, seperti berhenti haid di waktu Asar atau Isya’, maka solat Zohor atau solat Maghrib wajib dikerjakan pula (diqada’kannya).
Walaupun ALLAH memberi “cuti” kepada kaum Hawa setiap bulan, namun kita seharusnya mengambil sikap berjaga-jaga, berhati-hati dan peka dengan masalah kesihatan kita. Hal ini kerana soal menstrual ini bersangkut paut dengan soal solat serta ibadat fardhu yang lain (selepas mandi hadas). Wallhualam.
Rujukan
1) Siti Norbahyah Mahamood. 2002. Fekah Wanita. Pelita Ilmu.
No comments:
Post a Comment