Sunday, March 22, 2009

Tuhan Sedang Mengajarmu Erti Sabar


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kebanyakan orang selalu berkata, hidup ini ibarat roda. Kadangkala kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Dengan kata lainnya, hidup ini adakalanya kita akan terasa gembira dan hidup ini adakalanya kita akan berasa durja. Hakikatnya hidup yang kita lalui ini, penuh dengan kebaikan. Hatta, perkara yang menyusahkan dan menyedihkan sebenarnya terselit di dalamnya kebaikan. Namun begitu kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung daripada ALLAH atau orang lain, kita mudah melatah. Terasa ALLAH sengaja menyusahkan kita, atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian kepada kita, timbul rasa menyesal serta pelbagai lagi yang negatif.

Namun, bagi mereka yang yakin kepada ALLAH, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan malah perkara yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan. Walaupun diduga dan diuji, hamba yang bersangka baik pada ALLAH akan percaya bahawa ALLAH tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya, percaya ALLAH tidak akan berkehendakkan yang buruk kepada hamba-hambaNya; mereka inilah kuat imannya. Persoalannya di sini bolehkah kita mampu bersikap tenang dan sabar apabila diuji oleh ALLAH? Persoalan ini saya tujukan khas buat diri saya sendiri.

Nah, lihatlah firman ALLAH,



“Dan sabarlah kalian! Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang bersabar” (Al-Anfal:46)

“Sungguh, jika kalian bersabar, kesabaran itu lebih baik bagi orang-orang yang sabar” (An-Nahl:126)

“Dan ALLAH mencintai orang-orang yang sabar” (Al-Imran:146)

Hakikatnya manusia itu mudah lupa. Bukan namanya manusia atau Homosapiens sp. jika ia tidak lupa. Manusia seperti kita ini sering kali terlupa bahawa kita adalah hambaNya yang sememangnya layak diuji. ALLAH swt juga ‘memberitahu’ (suci daripada setiap makhluk) bahawa bersama sabar dan taqwa, musuh tidak akan dapat mengalahkan kita, walau sekuat manapun mereka. Selain itu juga, orang-orang yang sabar akan mendapat kebaikan di dunia & di Akhirat serta mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang sebenarnya dari segi lahiriah atau batiniah. Teringat saya akan petikan lagu Hakikat Bahagia yang dinyanyikan oleh UNIC;

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati ALLAH
jiwakan menjadi tenang

Apa yang ingin saya cuba sampaikan di sini adalah hakikat dan makna sebuah kesabaran. Di mana definisi sabar menurut syarak adalah menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH, menahan lisan dari keluhan, dan menahan anggota daripada mengungkapkan kesedihan (seperti memukul-mukul pipi, merobek-robek pakaian dsb). Dengan sifat sabar inilah akan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang tercela serta tidak rasional. Sekaligus, sabar adalah kekuatan untuk mencapai kebaikan serta kelurusan agama. Dzun Nuun Al-Mishriy pernah berkata “sabar adalah menjauhi hal-hal yang bertentangan dengan agama; bersikap tenang ketika menghadapi ujian yang berat; menampakkan kecukupan ketika kefakiran atau di kala kekurangan dengan datang ke tengah medan kehidupan.

Lihatlah satu lagi firman ALLAH,



Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang jika ditimpa suatu musibah berkata, “Sesungguhnya aku milik ALLAH, dan kepadaNyalah kita dikembalikan”. Merekalah orang-orang yang mendapat salam kesejahteraan dan rahmat dari ALLAH. Dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Al-Baqarah:155-157)



“Dan tidaklah seseorang itu diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar” (Hadith Riwayat Bukhari)



Cantiknya susunan ALLAH ini, sesuatu ujian atau musibah itu hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir serta bersangka baik pada ALLAH. Inilah hasil dan rintitan daripada sifat sabar. Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir kita adalah hambaNya. Namun sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada ALLAH? Biarlah Dia menyusun, merancang dan menentukan kehidupan kita dan segalanya. Kita hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakan mengikut kehendak ALLAH. Jika ALLAH memberikan ujian, dugaan dan kegagalan dan sebagainya seharusnya kita tidak boleh cepat melatah serta menyalahkan ALLAH. Seharusnya kita haruslah yakin sepenuhnya bahawa pasti ada kebaikan serta hikmah yang tersembunyi di sebalik imtihan yang ALLAH berikan pada kita.

“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan” (Al-Insyirah:6)

Tetapi boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (Al-Baqarah:216)



Oleh itu, saya mengajak diri saya terutamanya serta sahabat sahibah untuk bersangka baik pada ALLAH serta berusaha untuk memupuk sifat sabar di dalam diri apabila menempuhi imtihan dariNya. Dengan sifat sabar inilah akan menjadikan hidup kita lebih bahagia dan tenang. Moga ALLAH mengampunkan dosa saya, sahabat sahibah, ibu bapa kita, keluarga kita, para pendidik, saudara Islam kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan seluruh dunia serta muslimin dan muslimat sama ada yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.



MARI MENJADI HAMBA ALLAH!



~mutiara-mutiara bertaburan~







Rujukan
1) Hadith riwayat Bukhairi Az-Zakah III/335 dan Muslim, Az-Zakah VII/144 dari Abu Sa’id Al- Khudriy

2) Ibnu Rajab Al Hambali, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah & Imam Al Ghazali. Tazkiyatun Nafs Konsep
Penyucian Jiwa Menurut Ulama’ Salafushalih. Dar Qalam. 2001. pp 97-104.



3) Abu Asif, 2009. Tuhan Sedang Mengajarmu Erti Ikhlas Dan Sabar. SOLUSI Isu No.2. Telaga
Biru. pp 44.



4) Hilal Asyraf. 2008. Kebaikan-kebaikan yang Tersembunyi. langitillahi.blogspot.com






6 comments:

  1. Teruskan usaha murni saudari ini, moga redha-Nya sentiasa menaungi

    ReplyDelete
  2. salam...wah..wah..mantap..ok je blog ni..perlu touch up sket je lg..
    moga istiqamah

    ReplyDelete
  3. Kepada Ibnu Sanusi,

    Terima kasih atas kata-kata semangat. InsyaALLAH..Moga ALLAH meredhai kita semua.


    ~mutiara-mutiara bertaburan~

    ReplyDelete
  4. Kepada HaZiraH HussiN,

    Salam juga buat Azie. Terima kasih sebab berkunjung tiba ke blog ini. Ye banyak lagi kena explore & touch up. Tu yang nak minta tolong Azie ajarkan. Hi3. Takpekan? Tapi paling penting jis (isi) yang ingin disampaikan. InsyaALLAH moga kita semua istiqamah. Sampaikan salam pada sahabat2 BSK.. Uhibbukumfillah...

    ~mutiara-mutiara bertaburan~

    ReplyDelete
  5. salam...
    Teruskan perjuangan..ya ukhti!!
    InsyaALLAH...mudah2an ALLAH memberkati perjalanan hidup kite semue...

    ReplyDelete
  6. Kepada siti,

    Salam kembali buat Siti. Terima kasih kerana berkunjung tiba ke blog ini.Tidak lupa jg jazakillah atas kata-kata semangat. InsyaALLAH mg ALLAH meredhai serta tsabatkan kita dalam perjuangan ini. Salam ukhwah..

    ~mutiara-mutiara bertaburan~

    ReplyDelete