Tuesday, August 7, 2012

Meneladani Rumahtangga Rasulullah saw.


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala pujian bagi ALLAH Tuhan semestar alam atas nikmatNya yang paling besar iaitu iman & Islam serta salam dan selawat ke atas Rasul junjungan mulia Muhammad saw yang merupakan qudwah hasanah (contoh/ikutan yang terbaik) bagi seluruh umat manusia. Moga ALLAH berikan kita kekuatan untuk mengikuti akhlak baginda dari segi zahir mahupun batin.

Allahurabbi..lama benar diri tidak menulis. Terasa tiada kekuatan untuk menulis. Jika dahulu, diri benar-benar bersemangat untuk menulis & berkongsi ilmu dalam blog walaupun terasa banyak kekurangan berkaitan dalam hal-hal penulisan. Alhamdulillah hari ini ALLAH berikan kekuatan & kesempatan kepada saya untuk menulis & berkongsi dengan sahabat semua.

Tahun ini saya menyaksikan seorang demi seorang sahabat sahabat saya telah menyempurnakan sebahagian agamanya. Syukur Alhamdulillah. Apabila sebut soal perkahwinan ramai yang akan teruja. Bukan sahaja orang lain malah diri saya juga terasa begitu. 

Cinta atau perkahwinan sekiranya ditafsirkan dalam perspektif dunia atau Hollywood & Bollywood memang akan kelihatan perkara yang hanya melibatkan perasaan dan keindahan jiwa sahaja. Walaubagaimanapun cinta atau perkahwinan sekiranya ditafsirkan dalam perspektif Akhirat kita akan mersai betapa besarnya peranan & tanggungjawab dalam rumahtangga. Mengapa? Kerana rumahtangga (bait al-muslim) merupakan barisan utama untuk membangunkan ummah yang kuat. Bagaimana? Bermula daripada peranan seorang suami sebagai pendidik kepada isteri & anak-anak. Isteri pula sebagai pendamping suami, yang mengukuhkannya dan sentisasa mengingatkannya kepada ALLAH swt serta tanggungjawab dipikul bersama dalam mendidik anak-anak agar membesar & belajar memahami Islam serta mematuhi perintah ALLAH swt.

Justeru, saya ingin berkongsi kisah-kisah rumahtangga Rasulullah saw yang seharusnya kita contohi & ikuti.InsyaALLAH. Kisah-kisah rumahtangga Rasulullah saw ini telah disampaikan oleh Ustazah Norhafizah (Rancangan Usrati di IKIM). 

1)  Meraikan minat/kesukaan/kegembiraan pasangan

Diriwayatkan dari An Nasaie, pada suatu hari, Saidina Abu Bakar ra ketika mendatangi rumah anaknya Saidatina ‘Aisyah ra, terlihat ada dua orang anak perempuan sedang bermain rebana dan keduanya menyanyi. Dilihatnya baginda Rasulullah menutup kepalanya dengan kain. Melihat kedatangan Abu Bakar ra, baginda membuka penutup kepala seraya berkata, “Wahai Abu Bakar, biarkan sahaja. Hari ini adalah hari raya.” Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w juga pernah menemani Saidatina 'Aisyah r.a menonton satu pertunjukkan walaupun baginda tidak meminatinya. Namun baginda meraikan keiginan isterinya untuk menonton sambil membiarkan isterinya meletakkan dagu dibahunya. Dengan sabar baginda meraikan keinginan itu tanpa bersungut sebaliknya cuma bertanya, "adakah kamu sudah puas" dan hanya beredar sehingga isterinya mengiyakannya. Lihat bagaimana kesabaran baginda Rasulullah s.a.w dalam melayani dan meraikan minat/kegembiraan isteri walaupun baginda tidak meminatinya. Meraikan minat pasangan amat penting untuk diterapkan dalam sesebuah perkahwinan kerana kegagalannya dikhuatiri akan memberi ruang insan lain di luar mengambil alih tanggungjawab pasangan dalam meraikannya, lalu menjadi punca kepada goyahnya sesebuah rumahtangga.

2)  Menyantuni kepelbagaian sifat pasangan

Islam tidak menafikan sifat kemanusiaan, dimana lumrah setiap manusia ada sifat yang positif dan juga negatif. Namun, bagaimana patut seseorang itu menguruskan sifat negatif pasangan? Diriwayatkan oleh An-Nasaie, pada suatu hari, isteri baginda Rasulullah s.a.w, Ummu Salamah mengirimkan satu piring makanan untuk Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Kemudian, Saidatina ‘Aisyah r.a yang cemburu melihat makanan dari Ummu Salamah datang membawa seketul batu ditangannya lalu memecahkannya. Dengan tersenyum, baginda mempelawa sahabat-sahabat makan makanan yang disediakan sambil mengutip piring yang pecah itu seraya berkata, “ jemputlah makan..ibu kalian sedang cemburu..” Kemudian, setelah sahabat-sahabat pulang, baginda menyerahkan piring dari Ummu Salamah yang pecah itu kepada Saidatina ‘Aisyah r.a manakala piring milik ‘Aisyah r.a pula diserahkan kepada Ummu Salamah bagi menggantikannya. Lihat bagaimana Rasulullah, seorang pemimpin yang agung, mampu bersabar untuk menyantuni dan cuba memahami sifat cemburu isterinya. Baginda tidak merespons secara negatif terhadap kepelbagaian sifat pasangan, sebaliknya tanpa mempedulikan egonya, baginda mengutip sendiri pinggan yang dipecahkan dihadapan sahabat-sahabatnya sambil cuba mendamaikan keadaan. 

3) Memahami dan peka kepada perasaan pasangan  

Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda kepada ‘Aisyah r.a, “ Sesungguhnya aku mengetahui bila kamu senang terhadapku, dan bila kamu sedang marah terhadapku. ‘Aisyah ra berkata: Dari mana engkau mengetahuinya wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Bila kamu senang kepadaku, kamu menjawab, ‘’Tidak, demi Tuhan(nya) Muhammad’’, tapi bila kamu sedang marah kepadaku, kamu berkata, ‘’Tidak, demi Tuhan Ibrahim a.s’’. ‘Aisyah ra menjawab: “Ya, benar begitu”.

4) Mengawal/bersifat rasional ketika marah 

Sifat Rasulullah yang rasional dalam mengawal marah dapat dilihat ketika berlakunya peristiwa al-ifk ketikamana Saidatina ‘Aisyah r.a telah difitnah. Saidatina ‘Aisyah telah ditimpa sakit akibat kesedihan difitnah oleh golongan munafik. Dalam keadaan begitu, Saidatina ‘Aisyah r.a dapat merasakan kesedihan baginda Rasulullah kerana baginda sudah tidak menunjukkan kemesraan. Namun begitu,walaupun runsing dan sedih dengan peristiwa yang berlaku, baginda tidak sedikit pun berlaku kasar atau memarahi isterinya malah masih menjenguk Saidatina ‘Aisyah r.a untuk mengucapkan salam dan bertanyakan bagaimanakah keadaannya sehinggalah peristiwa itu selesai dengan turunnya wahyu yang membuktikan kebenaran ‘Aisyah r.a.

5) Berlemah-lembut/berhikmah dalam menegur pasangan

Banyak kisah-kisah yang mempamerkan bagaimana baginda Rasulullah s.a.w sangat berlemah lembut dengan isteri. Diriwayatkan ketikamana Saidina Abu Bakar r.a datang ke rumah baginda Rasulullah s.aw, dilihatnya Saidatina 'Aisyah sedang meninggikan suara kepada baginda Rasulullah s.aw. Lalu Saidina Abu Bakar r.a pun terus menghampiri dan memegang anaknya kerana marah. Melihat keadaan itu, baginda Rasulullah s.a.w terus meleraikan tangan mereka dikhuatiri Saidina Abu Bakar r.a berkasar terhadap isterinya. Sejurus Saidina Abu Bakar r.a pulang dari rumah baginda Rasulullah s.a.w, baginda pun cuba menjernihkan keadaan, tanpa sedikitpun berkasar dengan Saidatina 'Aisyah, baginda hanya berkata, "'Aisyah, aku sudah meleraikan tanganmu dari ayahmu wahai 'Aisyah.." Lalu mereka pun berbaik semula. Lihat bagaimana berhikmah dan lemah-lembutnya baginda terhadap pasangan. 

6) Menyebut-nyebut kebaikan untuk memotivasikan pasangan yang dalam kesedihan, atau sebelum memberi teguran kepada pasangan 

7) Menjadi pendengar yang setia kepada pasangan. 

      Selain kisah-kisah di atas, banyak lagi kisah dari rumahtangga baginda Rasulullah s.a.w yang boleh kita teladani. Mari kita sama-sama muhasabah diri, bagaimanakah layanan kita terhadap pasangan kita (bagi yang sudah berkahwin sahaja), yang adakalanya ianya lebih istimewa terhadap insan asing yang bukan mahram dibandingkan dengan pasangan yang halal untuk kita, yang semestinya merupakan insan yang paling  maklum akan baik buruk dan kelemahan kita dan berjasa untuk kita. Teladanilah bagaimana tingginya penghargaan baginda Rasulullah s.a.w terhadap isteri pertamanya Saidatina Khadijah ummul mukminin walaupun sesudah pemergian beliau.   
 

Semoga kita dapat memperbaiki diri, menyiapkan diri dengan ilmu, berusaha memahami dan mendalami akhlak Rasulullah saw dalam meraih redha ALLAH. Mustahil kita ingin berlenggang ke syurga seorang diri bukan? Hakikatnya kita ingin membawa orang yang kita cintai bersama-sama ke syurga. Semoga ALLAH berkati kehidupan dan bait al-muslim kita. Amin.

Ya ALLAH kurniakan kami pasangan dan zuriat keturunan yang menjadi penyejuk mata buat kami & jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa..

~mutiara-mutiara bertaburan~

Rujukan:
1) Rancangan Usrati-IKIM.fm. Ustazah Norhafizah
2) http://fasobrunjamil212.blogspot.com/2012/04/meneladani-rumah-tangga-baginda.html
3) http://langitilahi.com/8154

No comments:

Post a Comment