Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maga Penyayang
Ketika memandu pulang ke rumah baru-baru ini saya benar-benar teruji. Jalan raya menuju ke Kuala Lumpur begitu sesak sekali. Terasa seperti merangkak menuju destinasi. Sedaya upaya saya cuba mengelak daripada menempuhi kesesakan yang menggila ini dengan mencari jalan alternatif. Saya memasuki lorong susur keluar ke Lebuhraya Duke dengan harapan saya akan menemui Lebuhraya Karak. Malangnya saya tersalah memasuki jalan menghala ke Petaling Jaya. Bukan sahaja itu, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa setengah jam dari UPM ke Gombak telah menjadi 2 jam. Jangka masa perjalanan seperti dari Kuala Lumpur ke Melaka! Ditambahkan lagi, kereta saya hampir kehabisan minyak. Sangat menguji kesabaran.
Dalam keadaan seperti itu, saya teringat akan artikel Mencari Cinta di Kesesakan Jalan Raya yang ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi. Kesesakan lalu lintas adalah praktik mujahadah para sufi di akhir zaman. Di mana jalan raya kini hakikatnya “ladang” untuk menuai kesabaran, timbang rasa, kemaafan dan lain-lain sifat mahmudah. Cuba kita bayangkan. Sesak yang begini sudah terasa seksa bagaimana pula sesak di Padang Mahsyar? Dalam belaian hawa dingin kereta pun masih terasa “seksanya” menunggu, inikan pula penantian dalam kepanasan di Akhirat nanti. Mampukah kita?
“Huh… terkena betul rasanya pada diri sendiri. Relax lah tak perlu nak rush..”, saya bermonolog intrasik.
Sebenarnya, apabila menghadapi kesesakan lalu lintas, pemandu-pemandu di lebuh raya terbahagi kepada 3 golongan (persis pembahagian golongan manusia di Padang Mahsyar nanti).
Golongan pertama- golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain serta melanggar undang-undang. Ramai juga yang berbuat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai. Peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Disaman polis? Alahai setakat dua atau tiga ratus ringgit, tidak menjadi masalah. Bayar dan redah sahaja!
Golongan kedua- tidak seberani golongan yang pertama. Hendak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang lain bagaimana? Rasa malu dan segan masih ada tetapi dalam hati, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu “daring” dan “kurang ajar”. Hendak redah seperti golongan pertama? Tidak sama sekali. Jadi? Teruskan perjalanan dengan hati yang “terseksa”. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap 2 jam, 2 jam itulah hilang kebahagiaan dan ketenangan.
Golongan ketiga- mereka yang tenang dan senang-senang sahaja. Sesak? Biasalah tu. Semua orang ingin cepat. Apa maknanya cepat tapi hilang nilai sabar, timbang rasa, tolak ansur dan hormat-menghormati, begitu bisik hati mereka. Mereka tahu apa yang perlu “dikejar” dalam hidup ini. Terseksa? Tidak sekali. Sebaliknya mereka bahagia dan bersedia. Mereka telah bersedia dengan ‘bahan’ atau ‘alat-alat’ tarbiyah dan hiburan di dalam kereta.
Hah bagaimana?
Ketiadaan cinta, bahagia serta hati yang sejahtera di jalan raya adalah menjadi asbab berlakunya kemalangan. Apabila manusia dikuasai marah, kecewa, dendam, putus asa dalam kehidupan… segala-galanya dihamburkan semasa memegang stereng kereta.
Nah, lihatlah,
Daripada Shuhaib r.a., sabda Rasulullah saw, bermaksud, “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah kebaikan. Apabila mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan, apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya”.
Justeru, bahagiakanlah hatimu di jalan raya dengan cara bermuhasabah, mendengar ceramah atau tazkirah di dalam radio atau kaset, mendengar lagu, menyanyi, melihat pemandangan yang indah, berdiskusi dengan sesiapa yang bersama kita di dalam kereta serta pelbagai aktiviti yang bermanfaat yang boleh kita lakukan untuk menggembirakan hati ketika terperangkap di jalan raya. Selamilah dasar hati kita, dan percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu terikat pada hati yang punyai sifat redha dan tawakal yang tinggi kepada ALLAH swt.
Senang dan bahagiakanlah hatimu ketika di jalan raya!
~mutiara-mutiara bertaburan~
Rujukan
1) Pahrol, M. J. 2009. Mencari Cinta di Kesesakan Jalan Raya. Majalah SOLUSI. Isu No. 5. Telaga Biru.
2) Ditakhrij Muslim. 8/125 dalam al-Zuhud.
No comments:
Post a Comment