Thursday, July 1, 2010

Ayah


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Saat saya memikirkan tentang ayah membuatkan diri ini benar-benar sebak. Teringat kata-kata ayah semalam “Dirah, ayah sangat memahami keadaan awak..Ayah tahu awak susah sekarang, tak ada duit, feel demotivated. Cuba Dirah tanya balik pada diri, apa tujuan sebenarnya kita belajar? Bukankah itu tuntutan agama & untuk membangunkan ummah? Untuk menyumbangkan idea & kepakaran kepada Islam?. Dirah jangan risau tentang duit..Ayah akan usahakan”. Saya memandangnya sambil menangis.


Pernah suatu hari, mata saya mencuri pandang susuk tubuh dan muka ayah. Kelihatan wajahnya sedikit kedut di dahi dan di tangannya. Saya masih ingat, ketika kecil tangan itu yang akan rotan saya apabila degil, tangan itu yang akan rotan saya apabila tidak menghafal sifir matematik, tangan itu yang akan menyentuh hujung kaki saya ketika ayah ingin kejutkan untuk Solat Subuh, tangan itu juga yang akan menyentuh ubun-ubun dan bahu saya ketika saya menangis. Dan kini, susuk tubuh badan itu semakin tua dimamah usia. Sentuhan dan kata-kata nasihatnya masih hangat lagi terasa sehingga kini.


Emak pernah cerita pada saya, untuk berjimat setiap pagi ayah akan sarapan dengan makanan yang berat sebelum pergi ke kerja sehinggalah malam barulah ayah akan makan. Begitu juga dengan emak. Emak sentiasa membawa mangkuk tingkatnya ke tempat kerja. Semuanya kerana ingin menanggung dan membesarkan saya dan adik-adik. Saya benar-benar terasa dengan mereka. Saya benar-benar terharu dengan mereka.


Bagi saya, hari bapa bukan hanya pada bulan Jun. Hari bapa bagi saya adalah setiap hari. Begitu juga dengan ibu. Hari ibu bagi saya adalah hari-hari. Tiada daya dan kuasa selain ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Betapa besarnya pengorbanan seorang ayah mencari nafkah untuk sebuah keluarga. Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang buat anak-anaknya. Alhamdulillah, terima kasih padaMu ya ALLAH!


"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”

( Surah al Ahqaaf: 15)


Pernah suatu ketika ayah mengajar saya Matematik, saya bertanya kepada ayah mengapa ayah tidak meneruskan cita-citanya untuk sambung belajar? Jawab ayah, ayah tidak sanggup tengok anak-anak ayah susah. Ayah perlu kerja untuk sara kami sekeluarga. Ayah selalu kata kepada saya dan adik-adik saya untuk meneruskan cita-citanya untuk sambung belajar ke peringkat yang tinggi.


Dan kini, saya semakin meningkat dewasa. ALLAH memberi saya peluang dan kesempatan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan meneruskan dengan gerak kerja Islam. Saya tidak akan menjadi seperti saya sekarang tanpa pengorbanan ayah. Saya bersyukur kepada ALLAH dan bangga kerana menjadi anak ayah. Ayah gigih dan tekun bekerja. Ayah tidak jemu meniupkan semangat kepada saya untuk terus berjuang dan belajar. Berbekal selembar rasa sayang yang membaja, nama ayah lantas saya ukir di dalam hati, betapa bernilainya seorang ayah dalam kamus hidup seorang anak. Betapa besarnya kasih ALLAH menghadirkan ayah kepada diri seorang anak..


Tiada kata-kata indah dan lebih bermakna yang dapat saya ungkapkan selain mendoakan agar ALLAH menghadiahkan ayah diberikan umur yang panjang dalam ketaatan kepadaNya dan dimurahkan rezeki. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat serta kasih sayangNya kepada ayah, moga ALLAH kekalkan dan menambahkan iman serta amal kebajikan sebagai bekalan di Akhirat kepada ayah. Semoga ALLAH menjauhkan segala kemudharatan dan bencana kepada ayah dan semoga ALLAH mengurniakan segala kebaikan kepadanya. Terima kasih ayah!


Ketika berjauhan
Masihku rasa hangat kasihmu ayah
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku


Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan
Diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku
Erti kekuatan


Terpancar kebanggaan
Dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bilaku kegagalan
Tak kau biarkan
Aku terus kecewa


Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan


Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan


Tak dapatku bayangkan
Hidupku ayah
Tanpa engkau di sisi
Semua kasih sayang
Yang kau curahkan
Tersemat di hati

~Aeman~






~mutiara-mutiara bertaburan~

No comments:

Post a Comment