Wednesday, April 8, 2009

Berlari


Kulangkahkan kaki ini
Di hangat mentari pagi
Kusyukuri hari ini
Aku masih berdiri

Kan aku tinggalkan masa gelapku
Dan lalu mulakan jalanNya kernaMu
Semangat oh si misteri
Jalan hari dengan pasti
Selama jantung bergetar
Selama itu ku takkan berhenti berlari wujudkan impi
Terus berlari agar hidup ini bererti..

Ku jatuh bangkit aku kembali
Susah payah aku tak peduli
Kernaku hidup hanya sekali

Dengarkanlah teman seloka hiburan
Tak perlulah kita asyik nak berlawan
Kita semua kawan tak boleh berlawan
Kalau kita renggang kita ketinggalan
Bebaskanlah dirimu dari dibelenggu
Teruskanlah kamu ayuh kita maju
Mari bersamaku nyanyi lagu ini
Jangan difikirkan rasa yang di hati
Semua itu hanya di mindamu
Tak perlu kau sangsi tak perlu kau ragu
Segala-galanya pasti kan berlalu
Mentarikan muncul mendungkan berlalu

Suka duka perkara biasa
Kita pasti lalu bezanya pada waktu
Bila berlari kenalah berstrategi
Jangan ikut hati ikut hati nanti mati

Biarlah terlambat atau jalan cermat
Beberapa langkah jangan sampai otak penat
Sentiasa bawa diri hati-hati
Hari-hari beri erti pada diri

Jangan berhenti kejar mimpi senyuman diberi
Tanpa semua benci menghantui hati
Biarkan saja takdir semua nyata
Bersyukurlah masih lagi bernyawa

Dan aku tinggalkan masa gelapku
Takkan berhenti berlari wujudkan impi
Terus berlari agar hidup ini bererti..
Berlari…

~FIRDAUS~



“TAKKAN BERHENTI BERLARI”


~mutiara-mutiara bertaburan~

Sunday, April 5, 2009

Belasungkawa Buatmu Ukhti




Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang jika ditimpa suatu musibah berkata, “Sesungguhnya aku milik ALLAH, dan kepadaNyalah kita dikembalikan”. Merekalah orang-orang yang mendapat salam kesejahteraan dan rahmat dari ALLAH. Dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk”


(Al-Baqarah:155-157)




Salam takziah buat ukhti Kamariah Mat Zin sekeluarga yang telah kehilangan ibu, bapa serta abang yang dikasihi. Moga ALLAH gantikan sesuatu yang lebih baik pada ukhti serta memberikan ketabahan dan kekuatan buatmu. Semoga ALLAH merahmati serta menempatkan roh mereka ke dalam golongan hamba-hambamu yang soleh. Amin. (AL-FATIHAH).



Tidak lupa juga salam takziah & syafakillah buat ukhti Nur Syafiqah serta Nur Hazirah Hussin yang terlibat dalam kemalangan minggu lepas. Terasa sayu & hiba hati apabila melihat keadaan sahabat saya ini semalam. Tiada kata-kata yang lebih bermakna selain mengucapkan syukur kepada ALLAH; Alhamdulillah kerana memberikan keselamatan kepada mereka. Perkara yang lebih mengharukan apabila sahabat saya ini membisikkan kepada saya agar memberitahu kepada ibunya supaya dapat membantunya untuk menunaikan solat. Moga ALLAH memelihara dan memberikan ketenangan kepada sahabat saya.



Astaghfirullah, moga diri ini sentiasa menjadikan iktibar atau ibrar atas setiap musibah yang berlaku. Moga ALLAH mengampunkan dosa kita, ibu bapa kita, seluruh keluarga kita, sahabat handai kita serta saudara Islam kita yang lain di seluruh dunia.



Uhibbukumfillah..



~mutiara-mutiara bertaburan~
RUJUKAN
1) Bergeraklah atas bumi ALLAH picture. http://ms.langitilahi.com/bergeraklah/

I.B.U


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Kasih ibu membawa ke syurga…
Kasih ayah sepanjang masa…



Begitulah kata-kata yang dapat saya ungkapkan apabila berkata tentang ibu. “Kasihnya Tuhan kepada wanita”, kata-kata yang paling mudah untuk saya gambarkan layanan istimewa terhadap wanita dalam pandangan Islam. Kenapa?

Lihatlah,

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah saw, “siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?”, Rasulullah menjawab, “ibumu”, kemudian aku bertanya lagi “siapa”, Rasulullah saw menjawab, “ibumu”, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab, “bapamu, “kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.
(Hadith Riwayat at-Tarmizi)

Sabda nabi lagi,



“Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu”



Subhanallah, cantiknya susunan ALLAH ini. Begitulah kasihnya Tuhan kepada wanita. Hadith di atas menggambarkan ‘layanan’ istimewa terhadap wanita dalam Islam. Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberikan penghormatan yang begitu tinggi. Dia telah menciptakan organ yang sangat istimewa dan mulia iaitu rahim pada wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahim itulah wanita menjaga ciptaan Tuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.



Apabila mengenangkan pengorbanan ‘insan’ ini yang begitu tinggi kepada saya, sudah cukup membuatkan jiwa saya benar-benar tersentuh dan terharu. Bermula dengan kisah seorang insan yang diciptakan serba lemah ini dari tulang rusuk Adam; segala pengorbanan dan penderitaan yang ditanggungnya sepanjang tempoh kehamilan; 9 bulan, diikuti dengan proses kelahiran, kemudian memelihara, mendidik dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.


Hari ini, adalah hari istimewa bagi saya. Hari ini adalah hari kelahiran ibu saya, Rahmah bt Pit. Dialah ibu yang melahirkan, membesarkan serta mendidik saya dan adik-adik saya. Sebenarnya, tiada kata-kata indah dan lebih bermakna yang dapat saya ungkapkan selain mendoakan agar ALLAH menghadiahkan ibu saya umur yang panjang dalam ketaatan kepadaNya dan dimurahkan rezeki. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat serta kasih sayangNya kepada ibu saya, moga ALLAH kekalkan dan menambahkan iman serta amal kebajikan sebagai bekalan di Akhirat kepada ibu saya. Semoga ALLAH menjauhkan segala kemudharatan dan bencana kepada ibu saya dan semoga ALLAH mengurniakan segala kebaikan kepadanya.


“SELAMAT HARI LAHIR buat Puan Rahmah bt Pit. Terima kasih atas segala pengorbanan mak kepada kami selama ini. Akak sayang sangat mak kerana ALLAH!”


Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah ALLAH swt yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka. Antaranya, berlemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dengan mereka serta kita seharusnya mengingati dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah mereka berikan selama ini. Mereka telah bersusah payah mendidik serta membesarkan kita dengan mengorbankan waktu, perasaan, tenaga, wang ringgit serta bermacam-macam lagi semata-mata untuk memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah ALLAH menetapkan kepentingan serta tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga digandingkan dengan perintah mentauhidkan ALLAH swt.


Firman ALLAH swt,


“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan “Ah!” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
(Al-Isra’:23)


Lihatlah satu lagi firman ALLAH,


“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
(Lukman:14)


Justeru, saya mengingatkan diri saya yang seringkali terlupa dan alpa serta sahabat sahibah yang dikasihi ALLAH untuk menghargai serta berbuat baik kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih dikandung badan. Apa salahnya kita runtuhkan rasa ego dalam diri serta buangkan perasaan malu yang tidak kena pada tempatnya dengan mengatakan sayang kepada mereka. Kepada mana-mana sahabat yang mempunyai ibu bapa yang sudah menemuiNya doakanlah untuk mereka. Moga roh mereka ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh serta rohnya sentiasa berada di bawah rahmat ALLAH. Bukankah anak Adam itu meninggalkan 3 perkara setelah menemui Sang Penciptanya; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat serta doa-doa anak yang soleh? Semoga ALLAH redha pada kita semua.


“MARI MENJADI ANAK SOLEH!”


~mutiara-mutiara bertaburan~




Rujukan


1) Kasihnya Tuhan Kepada Wanita. 7 Mac 2005. Rislah Mawaddah. Exco Sahsiah &
Kerohanian Kolej Matrikulasi Johor. Edisi petama.

2) Doa Ibu Membawa ke Syurga. 11 Mei 2007. Khutbah Jumaat.
http://www.scribd.com/doc/7934164/Doa-Ibu-Membawa-Ke-Syurga
3) Cahaya iluvislam picture.