Sunday, April 5, 2009

I.B.U


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Kasih ibu membawa ke syurga…
Kasih ayah sepanjang masa…



Begitulah kata-kata yang dapat saya ungkapkan apabila berkata tentang ibu. “Kasihnya Tuhan kepada wanita”, kata-kata yang paling mudah untuk saya gambarkan layanan istimewa terhadap wanita dalam pandangan Islam. Kenapa?

Lihatlah,

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah saw, “siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?”, Rasulullah menjawab, “ibumu”, kemudian aku bertanya lagi “siapa”, Rasulullah saw menjawab, “ibumu”, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab, “bapamu, “kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.
(Hadith Riwayat at-Tarmizi)

Sabda nabi lagi,



“Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu”



Subhanallah, cantiknya susunan ALLAH ini. Begitulah kasihnya Tuhan kepada wanita. Hadith di atas menggambarkan ‘layanan’ istimewa terhadap wanita dalam Islam. Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberikan penghormatan yang begitu tinggi. Dia telah menciptakan organ yang sangat istimewa dan mulia iaitu rahim pada wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahim itulah wanita menjaga ciptaan Tuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.



Apabila mengenangkan pengorbanan ‘insan’ ini yang begitu tinggi kepada saya, sudah cukup membuatkan jiwa saya benar-benar tersentuh dan terharu. Bermula dengan kisah seorang insan yang diciptakan serba lemah ini dari tulang rusuk Adam; segala pengorbanan dan penderitaan yang ditanggungnya sepanjang tempoh kehamilan; 9 bulan, diikuti dengan proses kelahiran, kemudian memelihara, mendidik dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.


Hari ini, adalah hari istimewa bagi saya. Hari ini adalah hari kelahiran ibu saya, Rahmah bt Pit. Dialah ibu yang melahirkan, membesarkan serta mendidik saya dan adik-adik saya. Sebenarnya, tiada kata-kata indah dan lebih bermakna yang dapat saya ungkapkan selain mendoakan agar ALLAH menghadiahkan ibu saya umur yang panjang dalam ketaatan kepadaNya dan dimurahkan rezeki. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat serta kasih sayangNya kepada ibu saya, moga ALLAH kekalkan dan menambahkan iman serta amal kebajikan sebagai bekalan di Akhirat kepada ibu saya. Semoga ALLAH menjauhkan segala kemudharatan dan bencana kepada ibu saya dan semoga ALLAH mengurniakan segala kebaikan kepadanya.


“SELAMAT HARI LAHIR buat Puan Rahmah bt Pit. Terima kasih atas segala pengorbanan mak kepada kami selama ini. Akak sayang sangat mak kerana ALLAH!”


Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah ALLAH swt yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka. Antaranya, berlemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dengan mereka serta kita seharusnya mengingati dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah mereka berikan selama ini. Mereka telah bersusah payah mendidik serta membesarkan kita dengan mengorbankan waktu, perasaan, tenaga, wang ringgit serta bermacam-macam lagi semata-mata untuk memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah ALLAH menetapkan kepentingan serta tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga digandingkan dengan perintah mentauhidkan ALLAH swt.


Firman ALLAH swt,


“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan “Ah!” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
(Al-Isra’:23)


Lihatlah satu lagi firman ALLAH,


“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
(Lukman:14)


Justeru, saya mengingatkan diri saya yang seringkali terlupa dan alpa serta sahabat sahibah yang dikasihi ALLAH untuk menghargai serta berbuat baik kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih dikandung badan. Apa salahnya kita runtuhkan rasa ego dalam diri serta buangkan perasaan malu yang tidak kena pada tempatnya dengan mengatakan sayang kepada mereka. Kepada mana-mana sahabat yang mempunyai ibu bapa yang sudah menemuiNya doakanlah untuk mereka. Moga roh mereka ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh serta rohnya sentiasa berada di bawah rahmat ALLAH. Bukankah anak Adam itu meninggalkan 3 perkara setelah menemui Sang Penciptanya; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat serta doa-doa anak yang soleh? Semoga ALLAH redha pada kita semua.


“MARI MENJADI ANAK SOLEH!”


~mutiara-mutiara bertaburan~




Rujukan


1) Kasihnya Tuhan Kepada Wanita. 7 Mac 2005. Rislah Mawaddah. Exco Sahsiah &
Kerohanian Kolej Matrikulasi Johor. Edisi petama.

2) Doa Ibu Membawa ke Syurga. 11 Mei 2007. Khutbah Jumaat.
http://www.scribd.com/doc/7934164/Doa-Ibu-Membawa-Ke-Syurga
3) Cahaya iluvislam picture.

No comments:

Post a Comment