Wednesday, July 1, 2009

Introspeksi Diri..


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


“Aiman tak kisah!”, kata Aiman.

Aiman memang tak kisah, tapi saya kisah.

Sebabnya saya bukan Aiman.

Jadi, apa yang saya kisahkan?


Sebenarnya saya selalu berkira-kira, agak cerewet dan sangat bermasalah untuk ‘mengepost’ sesuatu artikel dan sebagainya dalam blog saya. Seringkali saya memerlukan masa hampir 5 jam untuk menulis seuatu artikel. Sebab apa? Sebab saya selalu mempunyai suatu perasaan rendah diri. Saya selalu terfikir, setiap apa yang saya tulis pasti semua orang sudah mengetahuinya atau tiada siapa yang ingin membacanya atau cara penyampaian dan ayat yang saya gunakan tidak sesuai atau penulisan saya ini terlalu skema dan membosankan atau tiada mesej (pengajaran) yang dapat saya sampaikan. Jadi, untuk apa saya tulis?


Alah apa susah-susah? Copy & paste sahaja mana-mana artikel dari blog atau web yang lain. Barangkali ada yang berkata seperti itu.


Pada suatu hari ditakdirkan oleh ALLAH…


Saya ditemukan oleh ALLAH dengan satu artikel daripada blog seorang rakan yang saya kenali dahulu semasa menjadi Pembantu Universiti Sesi 2006/2007 yang benar-benar menyentuh jiwa serta menaikkan semangat saya untuk kembali menulis.


Katanya…


Hajat untuk menulis sesuatu sepanjang 2 minggu aku bercuti + seminggu cuti tanpa elaun tidak kesampaian.. Terbit rasa menyesal dalam hati kerana meninggalkan laptop kesayangan aku ni kat rumah abang long sebelum balik ke kelantan..


Boleh dikatakan banyak juga idea-idea yang bercambah dalam saraf-saraf neuron aku ni..


Tapi.. macam biasala.. bila nak start tulis.. dia buat hal pulak dah.. tak tahu nak reka ayat macam mana.. Kalau tak stuck tengah jalan.. mesti asyik taip pastu padam.. taip lagi pastu padam lagi.. akhir sekali.. tutup laptop, buat kerja lain.. Takpun, merayap ke blog kawan-kawan.. Baca apa yang menarik kat blog diaorang nih..


Daripada situ, aku dapat perhatikan kepelbagaian identiti dan variasi persembahan yang cuba ditonjolkan dalam blog masing-masing.. Ada yang tulis mengenai diri sendiri, diari, aktiviti, cerita benar mahupun rekaan.. siap ada yang buat bisnes lagi.. Ramai juga yang turut menyelitkan unsur-unsur kerohanian dan ketuhanan dalam entri yang di’publish’kan.. Bagus2.. Tidak kurang juga yang menulis mengenai dakwah.. Ha.. topic ni menarik tapi mungkin agak berat untuk ditulis oleh aku yang tak berapa pandai pasal dakwah-dakwah ni. Hmm..


Tapi, walau apa pun yang ditulis, sebaik-baiknya entri itu boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain....


Bercakap mengenai niat..

Wahai blogger-blogger sekalian alam.. littleMuslimah ingin mengajukan soalan. Apakah niat dan tujuan tuan hamba semua membuat blog??


Adakah kerana minat?

Atau kerana pengaruh rakan? Nampak macam best jer buat blog..

Atau ingin menarik minat orang lain?

Atau..

Sajer-sajer jer..?

Di antara pilihan di atas.. Mana satu pilihan kalbu korang semua??


.:: Iklan ::.

Aku : Cik littleMuslimah.. Tanya soalan yang sama kepada diri kamu jugak!!!

Aku jugak : Ye.. ye.. nak tanya la ni..

.:: Iklan habes haha.. ::.



Ramai yang menulis mengenai isu-isu dan topik-topik yang hebat.. Tidak kurang juga yang menggunakan laras bahasa dan susunan ayat yang.. perghh!!Kalah sasterawan negara.. Bak kata pepatah.. ‘Tidak ada tolok bandingnya’..

Sungguhpun begitu, tidak dinafikan, gaya bahasa adalah satu daripada elemen terpenting dalam sesebuah entri.. Gaya bahasa yang menarik akan mudah mencuri perhatian para pembaca untuk terus dan terus membaca tulisan tersebut..

Tapi, ingatlah.. kehebatan isu mahupun kehebatan gaya penulisan itu akan terhijab sekiranya tidak disertakan dengan niat yang betul.. Menulis semata-mata ingin memancing minat orang lain tidak ada gunanya. Tambah buruk lagi, jika ianya disertai dengan perasaan riak dan takbur dalam hati, perasan yang kita akan dikagumi oleh orang lain kerana tulisan kita..


Tapi.. Jangan salah faham.. bukan tak boleh tulis dengan bahasa yang berbunga-bunga.. Cuma.. apa yang aku ingin ingatkan di sini.. biarlah tulisan itu hebat seiring dengan hebatnya kalimah‘Bismillahirrahmanirrahim’ yang dilafazkan seawal kita ingin mengetukkan jari-jemari di atas papan kekunci laptop ataupun PC.

Kerana Allah kita dianugerahkan ilmu..

Kerana Allah kita digerakkan tangan untuk menulis kembali ilmu tersebut untuk disebarkan kepada semua..

Kerana Allah ilmu tersebut sampai ke pengetahuan para pembaca yang membaca blog kita..

Dan kerana Allah lah.. Tujuan kita harus disandarkan.. Semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dalam dunia yang serba canggih ini..

Bukankah keredhaan dariNya yang kita dambakan?

Bukankah pandangan dariNya yang cuba kita kait dari ‘galah’ yang tidak seberapa ini?

Pendek kata.. Semuanya kerana Allah..

Wahai kawan-kawan blogger semua.. berhati-hatilah.. Jangan biarkan diri kita terlalai.. Jangan kerana teruja bila tengok ‘visitors counter’ semakin hari semakin banyak.. mulalah kita nak riak.. Terpengaruh dek hasutan syaitan yang durjana.. lantas melupakan niat pertama yang pernah dilafazkan dahulu.. Sekiranya sudah ada bibit-bibit riak dalam hati.. Mari kita semua betulkan niat kita.. Jadikan blogging sebagai tanggungjawab sosial kita sebagai medium penyebaran ilmu yang bermanfaat serta peluru untuk lontaran hujah yang konkrit.

Aku teringat kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Kak Yati..

“Takpe mizah.. kadang2 tulisan yang terlalu berbunga tu tak dapat tarik perhatian kita. Tulisan yang datang dari hati itulah yang akan menyentuh hati orang lain..”

Betul jugak tu.. kata aku dalam hati.. Tapi.. persoalannye.. adeke orang yang nak tersentuh dengan tulisan aku ni..?? Nampaknye aku kena tambahkan lagi keikhlasan dalam penulisan aku nih di sampingkena amik subjek Bahasa Melayu balik untuk memantapkan bahasa.. hahaha..

Apapun.. muhasabahkan diri kita semua.. Ingatlah, setiap amalan bermula dengan niat yang baik.. Dan semestinya, amal itu mestilah amal yang menepati syariat Islam.. Okeh!!

..The End..

http://littlemuslimahdiary.blogspot.com/



Ya, manusia memang mudah lupa. Bukannya manusia jika ia tidak lupa. Saya terlupa dengan niat awal saya dahulu ketika mula-mula ingin menulis dalam blog.


“Mengapa perlu ada perasaan rendah diri sehingga tidak bersemangat untuk terus menulis serta berdakwah dalam blog?Bukankah saya diajar untuk menyampaikan kepada sesiapa sahaja (yakni perkara-perkara yang baik) walaupun dalam satu ayat?, saya bermonolog.


Nah cubalah lihat ini (saya tujukan khas untuk diri saya) .


Dari Amir al Mu’minin Abu Hafs ‘Umar Ibn Khattab radiyallahu ‘anh, katanya: Aku dengar Rasulullah saw bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kerana ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya kepada ALLAH dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Saya tinggalkan dengan kata-kata Hasan al-Bashri.


Seorang mukmin itu pemimpin bagi dirinya sendiri. Ia bermuhasabah (introspeksi) dirinya kerana ALLAH. Sesungguhnya hisab pada hari Kiamat nanti akan menjadi ringan, bagi mereka yang telah melakukan muhasabah di dunia. Sebaliknya, hisab akan terasa berat bagi mereka yang tidak pernah bermuhasabah.


Astaghfirullah....


Sesungguhnya yang baik itu datang daripada ALLAH, yang buruk itu merupakan kelemahan diri kita sendiri & untuk kita sama-sama bermuhasabah (introspeksi). Hakikatnya kedua-duanya itu adalah datang daripada ALLAH swt.


~mutiara-mutiara bertaburan~


Rujukan

1) Mustafa ‘Abdul Rahman. 2008. Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahannya).

DewanPustaka Fajar. pp 55-56.

2) Ibnu Rajab Al Hambali, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah & Imam Al Ghazali. Tazkiyatun Nafs

Konsep Penyucian Jiwa Menurut Ulama’ Salafushalih. Dar Qalam. 2001. pp 89-90.

No comments:

Post a Comment